Barangkali 'mood' Raya yang membuatkan saya rasa terlalu sibuk untuk menulis. Detik sedih dan malang menimpa rakan media dalam misi kemanusiaan di Somalia juga seolah-olah melambatkan gerak-geri. Apa pun esok, Malaysia lawan Jepun dalam sukan bolasepak, kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, mempunyai tarikan yang sudah cukup kuat.
Jepun (dan Korea Selatan) sering menjadi tuturan 'sedap mulut' peminat fanatik bolasepak tempatan. "Dulu, Jepun pun kita titik senang-senang." Memang benar tetapi tidak semua komen kita tepat. Kelayakan Sukan Olimpik 1972, Malaysia benam Jepun 3-0 menerusi hatrik Syed Ahmad Syed Abu Bakar membolehkan Malaysia layak ke Munich. Itu dulu, ini sekarang! Proses kelayakan bolasepak sekarang juga sudah banyak berubah. Jumlah negara yang menghantar pasukan beraksi dalam bolasepak antarabangsa juga sudah bertambah besar. Perjalanan pasukan kendalian Ong Kim Swee ternyata begitu berliku. Bolasepak Jepun sekarang menuju "world class" dalam semua aspek. Perlawanan esok hanyalah yang pertama daripada 6 perlawanan semuanya yang turut membabitkan Syria dan Bahrain. Yang penting, pasukan Olimpik negara perlu tepat mencari sasaran untuk mendapatkan "good result".
Ketika bersembang dengan Kim Swee di luar 'set' di Sri Pentas minggu lalu, saya sempat meluahkan rasa kepada beliau bahawa Malaysia perlu jelas dan terancang untuk mencari "good result". Kalah 1-0 mungkin masih boleh dianggap "good result". Apa ni? Takde semangat ke? Mengalah sebelum berjuang? Bukan itu maksud saya. Saya percaya Kim Swee dan pemain-pemainnya faham realiti bolasepak di antara Malaysia dan Jepun ketika ini. Justeru, mencari 'good result' amat penting supaya cabaran awal pasukan Olimpik untuk mengintai peluang ke London 2012, tidak terjerumus, terkulai dan layu! Biarlah secara keseluruhannya, pasukan Olimpik Malaysia dapat mempertontonkan kualiti yang sewajarnya dan terus mencari landasan untuk membantu kebangkitan bolasepak Malaysia. Baiklah, 0-0 atau 1-1 sudah tentu good result yang lebih diinginkan peminat bolasepak tempatan dan saya sendiri. Satu mata daripada perlawanan 'away' di Tosu, Jepun sudah pasti cukup berharga, sekaligus membakar semangat dan keyakinan pemain Malaysia untuk cabaran seterusnya. Jadi, Ong Kim Swee, grup teknikalnya serta pemain-pemain skuad Olimpik, peka, prihatin dan berusaha keraslah untuk apa yang sepatutnya menjadi "good result" di Jepun, esok. Selamat berjuang!!!
No comments:
Post a Comment