Sunday, September 4, 2011

Mengenang Allahyarham Noramfaizul

Jangan mulakan 'blame game', kata YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor jurukamera Bernama TV yang tertembak mati ketika membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1-Malaysia di Somalia, dimahsyurkan sebagai wira negara. Kita faham semua itu. Mujur juga Datuk Seri Najib bijak membaca situasi apabila berjanji bahawa langkah dan perancangan yang lebih teliti dan berhati-hati akan diambil sebelum Malaysia menghantar delegasi dalam misi yang seumpamanya pada masa akan datang. Cukuplah dengan pengorbanan rakan kami Noramfaizul yang meninggalkan seorang balu, Norazrina Jaafar dan dua anak lelaki, Mohd Irfan dan Mohd Naufal.
Saya amat percaya, kita mampu mengelakkan tragedi media Malaysia di Somalia daripada berulang. Rasanya tidak mahu lagi melihat sebarang suasana kepulangan jenazah yang disambut, malah dirai, di lapangan terbang seperti yang berlaku di TUDM, Subang, kira-kira jam 10.10 pagit semalam. Terdetik juga kekesalan di sebalik pengiktirafan pihak tertinggi kerajaan yang menyifatkan kematian Allahyarham Noramfaizul sebagai inspirasi yang melambangkan jati diri dan hati budi seluruh warga Malaysia dalam membantu insan sejagat. Bukan berniat mencetuskan 'blame game' yang diistilahkan YAB Perdana Menteri, tetapi tetap timbul pelbagai persoalan apakah penganjur misi Somalia telah mengambilkira segala risiko keselamatan dan merencana pengurusan misi bantuan berkenaan dengan sebaik-baiknya. Diharap tiada sebarang kelalaian atau sikap memandang ringan terhadap setiap keperluan yang sepatutnya diberi perhatian. Diharap, tiada sebarang kesempatan diambil oleh mana-mana pihak, dan jangan sekali-kali mahu 'membutakan' kita daripada realiti dan tragedi yang menimpa Allahyarham.
Secara peribadi saya hanya mengenali Allahyarham menerusi beberapa ketika seperti liputan sukan atau acara sukan antara media tempatan. Jersi pasukan bolasepak Malaysia (versi sebelum kebangkitan Harimau Malaya) yang dipakai ketika bergambar bersama keluarga, membuktikan semangat Allahyarham terhadap negaranya. Allahyarham memiliki air muka yang tenang dan ceria. Saya cukup senang setiap kali bertemu beliau. Kali terakhir saya disapa Allahyarham ialah pada pelancaran logo UFL di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu. Saya sedih dan terkilan. Pemergian Allahyarham juga amat dirasai oleh rakan-rakan petugas media yang lain.Takziah buat seluruh anggota keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.


No comments:

Post a Comment