Maaf terlebih dulu aku mohon dari kalian semua di atas apa yang bakal dicoretkan dalam paparan kali ini. Coretan yang di sebaliknya tersemat rasa pedih kegagalan menangkis cabaran Singapura di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Bukit Jalil, malam tadi.
Stadium Nasional yang begitu gah dengan warna kuning dan sorakan patriotik penyokong setia Malaysia, akhirnya terpaksa lara, akur dan semacam bertafakur apabila keputusan seri 1-1 menyekat kemaraan Harimau Malaya yang begitu mengaum sejak pingat emas Sukan SEA di Laos pada Disember 2009.
Banyak kesan sampingan di sebalik prestasi "sedaya upaya tetapi sederhana" daripada pemain-pemain Harimau ketika menentang pasukan Singa. Bagi pemerhati seperti saya, paling terkilan ialah kita tidak dapat terus menguji pasukan atasan Asia dalam peringkat kumpulan. Pengalaman itu (sama seperti Sukan Asia di Guangzhou tahun lalu), cukup berharga untuk bolasepak Malaysia menilai dan belajar untuk menjadi pemain dan pasukan yang lebih stabil (compact) di peringkat Asia. Sayang.... Jika tidak, Safee, Safiq, Kunanlan, Mahali, Amar, Khairul Fahmi, Muslim, Asrar, Aidil dan lain-lain, dapat mengasah lagi corak permainan, fizikal dan mental apabila berentap dengan pasukan seperti Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan/Utara, Uzbekistan, Australia dan lain-lain. Saya pasti, pemain sendiri kecewa terlepas peluang itu.
Kegagalan pedih di tangan Singapura bukan berlaku di Bukit Jalil, tetapi sebaliknya di Jalan Besar 23 Julai lalu. Mungkin kealpaan separuh masa selepas mendahului 1-0 di Jalan Besar, menjadi permulaan kejatuhan Harimau Malaya. Barangkali juga, kelicikan kaki, helah badan dan teknik sepakan Aleksander Duric, 40 tahun, pemain kelahiran bekas negara Yugoslavia, untuk menjaringkan gol kemenangan 5-3 Singapura pada perlawanan pertama, merupakan titik hitam kegagalan Malaysia kali ini.
Ini kerana, apa yang 'terselindung' dalam aksi di Stadium Nasional semalam, adalah perbezaan 'budaya' permainan bolasepak di antara Malaysia dan Singapura. Sudah tentu berbeza kerana Singapura kini diwakili 5 pemain yang bukan di lahirkan di Temasik. Duric, Fahruddin Mustafic, Qiu Li, dan Shi Jiayi dan Daniel Bennett. Namun, bukan budaya itu yang saya maksudkan.
Biarpun pedih, tidak dinafikan the Lions juga mempunyai 'budaya' bolasepaknya yang tersendiri dan malam semalam, mereka seperti menggambarkan ketrampilan Singapura sebagai sebuah negara yang rata-rata terancang, bersih dan "hi-tech", sama ada dilaksanakan secara kempen yang sistematik atau pun melalui dasar tegas oleh kerajaan republik itu.
Dalam bolasepak, Singapura sudah menjuarai Piala AFF sebanyak 3 kali walaupun pada tahun 70-and dan 80-an, mereka mudah dijinakkan Malaysia, kecuali satu perlawanan Piala Ovaltine apabila Fandi Ahmad menggelecek Santokh Singh membantu pasukan republik itu menang 2-1 di Stadium Merdeka.
Corak permainan tenang, kemas dan kadangkala 'fancy' agak ketara dirangkaikan oleh pemain Singapura semalam, termasuk sumbangan Harris Haron dan kapten mereka, Shahril Ishak di barisan tengah untuk membuka dan mengawal rentak permainan. Sama sekali tidak cukup untuk pemain Malaysia mengatasi Singapura dengan cara kudrat semata-mata. Insyallah, pengajaran itu pasti membuatkan pasukan muda kita lebih dewasa. Belang Harimau Malaysia masih menawan, semakin hitam dan kuning, ayuh teruskan mengaum!!!
No comments:
Post a Comment