Sports and society? How does it mix? Well, that is what I intend to explore...the fun and challenges of sports on the backdrop of a Malaysian life. I am confident of getting it over on the second serve!
Wednesday, March 7, 2012
Mari kita jaga Zulfadli Zulkifli
Sengaja saya guna ayat tajuk yang keanak-anakan untuk 'posting' kali ini. Zulfadli Zulkifli, baru menjangkau usia 19 tahun tetapi sudah ternyata sedar perjalanannya untuk ke puncak badminton dunia. Juara badminton remaja Asia dan dunia, anak En Zulkifli ini mungkin muncul pada masa yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat sukan tanahair, termasuklah saya sendiri. Agak bosan juga dengan persoalan yang ditimbulkan oleh para penulis sukan tempatan yang sering berbunyi: "Siapa pengganti Lee Chong Wei?". Naah, jawapannya, siapa lagi kalau Zulfadli Zulkifli! Tetapi media sukan di Malaysia kebelakangan ini saya ternampak ketidak-tentuan dalam keberimbangannnya. Cepat sungguh memuji, pantas pula mengeji...lazimnya ekstrem dalam apa yang diperkatakan dalam kebanyakan isu. Lebih buruk lagi kalau wartawan yang masih kurang pengalaman, tanpa "sports world view" yang kukuh, ditambah pula terbawa-bawa dengan sikap suka gossip dan mudah iri hati di kalangan warga Malaysia. Ada saya terdengar ungkapan: "Bapa Zulfadli tu macam-macamla...". Haaa itu dia bunyi awal dalam kelompok media tempatan yang mungkin dipahat sedikit sebanyak sinisnya oleh orang-orang dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Apa maksudnya "macam-macam"?. Barangkali ia termasuk permintaan Encik Zulkifli untuk berada di dewan Stadium Juara di Bukit Kiara, KL, yang juga ibupejabat BAM.
Macam-macam yang macam mana?
Kalau kita lihat elok-elok, dakwaan bahawa bapa Zulfadli itu "macam-macam", sama sekali tidak timbul. Setahu saya, Zulkifli hanya meminta kebenaran untuk sama-sama berada di dewan Stadium Juara untuk memerhatikan anak dilatih para jurulatih BAM. Sudah tentu apa salahnya. Lagi pun keputusan Zulkifli (dan Kelab Raket Kuala Lumpur) setuju supaya Zulfadli dimasukkan dalam program latihan BAM hanya untuk satu matlamat; ingin sama-sama melihat Zulfadli terus mengasah carta peningkatannya untuk cuba mengikut jejak jaguh kita Datuk Lee Chong Wei. Apa salahnya Zulkifli sebagai seorang bapa ingin memastikan anaknya yang baru berusia 19 tahun, mendapat penjagaan dan latihan yang sesuai demi badminton negara juga. Apatah lagi Zulkifli sendiri sudah membentuk permainan Zulfadli hingga menjadi juara dunia. Gelaran itu tidak pernah dikecapi oleh mana-mana pemain dari Malaysia sebelum ini. Justeru, tunjuk ajar (atau pemerhatian Zulkifli sebagai seorang bapa mahupun jurulatih) sudah terbukti. Tidak boleh dinafikan kesan dan kebijaksanaan cara Zulkifli membimbing karier badminton anaknya. Sedangkan sebaliknya, kita semua maklum bahawa tidak semua corak latihan atau sistem kejurulatihan BAM, berhasil sepenuhnya. Sudah beberapa tahun kita menyaksikan beberapa bakat muda negara seperti Arif Latif, Darren Liew atau Kuan Beng Hong, gagal mekar ke peringkat senior seperti yang dirancang BAM. Malah, persoalannya semakin kritikal, siapakah pengganti Chong Wei selepas ini?
Apa yang perlu ditekankan ialah sikap profesional dan kerjasama ala-budaya sukan Malaysia di antara BAM dan Zulkifli. Anaknya Zulfadli ibarat mutiara yang sangat berharga bagi kita semua. Dia (dan bapanya juga) perlukan setiap cebis sokongan untuk membantu peningkatannya dari tahap junior ke senior dalam arena badminton dunia.
Jadi, semua pihak harus bijaksana dalam menilai (dan seharusnya menatang) bakat badminton yang datang sekali-sekala ini, untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna bagi sukan negara sepertimana yang berjaya dipikul oleh Datuk Lee Chong Wei.
Awal-awal lagi, ketepikanlah cakap-cakap sinis, laporan media yang tidak tepat dan sikap iri hati yang tidak tentu hala supaya kita dapat melihat dengan jelas sejauh manakah bakat, jati diri dan profesionalisma yang dimiliki oleh anak muda kita yang bernama Zufadli Zulkifli. Janganlah terbawa-bawa dengan sikap keanak-anakan!
Subscribe to:
Posts (Atom)